Selasa, 27 Oktober 2015

SIRI 1 TM VS DSN [ YANG TERSURAT DAN YANG TERSIRAT] @NajibRazak


Assalamualaikum wbk.

Siri1 TM vs DSN: 
"Yang tersurat dan yang tersirat"

Ramai antara kita mudah terpengaruh dengan persepsi negatif dan sanggup mengenepikan fakta. Situasi ini telah menjadi peluang keemasan oleh pihak pembangkang bagi menyebar kebencian dalam usaha menjatuhkan kerajaan. 

Sebagai contoh; apabila 1MDB di fitnah dan digambarkan sebagai anak syarikat yang mempunyai banyak kesalahan jenayah komersil disebar. Kita telah menerima fitnah ini sebagai fakta dan mengenepikan fakta yang diberi oleh pihak kerajaan. Lebih menyedihkan apabila mantan PM kita pula sekarang ini mendominasi tuduhan berkaitan 1MDB yang terbukti fitnah sebagai usaha menjatuhkan PM DSN.

Usaha mantan PM ini sedikit sebanyak telah menyebabkan ramai antara kita yang tidak mendapat maklumat sebenar telah terpengaruh dan mula membenci PM DSN. Ini dibuktikan melalui kajian Merdeka Centre, tidak lebih 35% rakyat kaum Melayu yang masih percayakan PM DSN. Selebihnya telah terpengaruh dengan fitnah yang berleluasa kebelakangan ini. 

● TNB Dan PETRONAS DiKambing Hitam Oleh TM

Semasa mantan PM Malaysia mengamal dan mementingkan Dasar Penswastaan atas nama pembangunan, TNB telah dinafikan hak untuk membina loji janakuasa. Maka IPP telah dibina dibawah dasar ini. 

Melalui perjanjian yang dimerterai, TNB WAJIB membeli setiap unit tenaga yang dihasilkan oleh pihak IPP pada harga 16 sen dan TNB akan jual kepada rakyat pada harga 30 sen. Walaupun pada awalnya TNB mampu mengurangkan kos kepada 8 sen seunit dan dijual kepada rakyat sebanyak 17 sen, situasi ini tidak berlaku dek kerana perlaksanaan dasar penswastaan yang merugikan kita semua.

Akibat dari perjanjian ini, TNB sentiasa mengalami kerugian kerana setiap tahun, hampir 45% tenaga yang dibeli dari IPP tidak dapat dijual kerana tiada permintaan. 

PETRONAS pula DIPAKSA memberikan subsidi gas kepada pemilik IPP. Situasi ini menyebabkan kesemua pemilik IPP memperoleh keuntungan berganda. (Untuk rekod, pada 2011 sahaja Petronas telah berikan rm19B subsidi gas, jumlah yang amat besar untuk pemilik IPP). 

Ramai antara kita tidak menyedari, pada 31 Ogos 2011, TNB telah kerugian sebanyak rm 453 juta dan sekali lagi  kerugian direkod pada30 November 2011 berjumlah rm 224.7 juta. Antara sebab kerugian yang dilapor adalah kerana TNB terpaksa menanggung pembelian tenaga dari IPP. Disebabkan masalah ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan rm2B bagi mengelakkan TNB menaikkan tarif elektrik untuk menampung kos pembelian tenaga dari IPP. 

● Tindakan PM DSN Melalui 1MDB Bertindak Sebagai Penyelamat

PM DSN telah mengorak langkah dan memulakan usaha perundingan semula berkaitan IPP untuk mencari keseimbangan perjanjian. Usaha ini talah berhasil apabila pada Okt 2012, Suruhanjaya Tenaga telah mengumumkan bahawa setiap konsesi baru IPP hanya melalui TNB dan anak syarikat milik kerajaan iaitu 1MDB. 

Tindakan ini dibuat bagi memastikan tiada lagi syarikat persendirian atau swasta yang mendapat manfaat subsidi dari kerajaan. 

Untuk pengetahuan kita semua, akibat kesilapan perjanjian yang ditandatangani sejak tahun 1990an, anggaran sebanyak rm100B telah hilang dari PETRONAS dan TNB bagi memenuhi perjanjian berat sebelah yang menyebelahi pemilik IPP. 

Melalui perjanjian yang diusahakan oleh PM DSN juga, PETRONAS tidak perlu lagi memberikan subsidi gas kepada pemilik IPP. 

Pujian wajar diberi kepada PM DSN dan kita patut bersyukur kepada ilahi kerana diatas keperihatinan PM DSN, kadar tarif bagi pengguna di semenanjung yang sepatutnya naik pada July 2014 dan Jan 2015 mengikut Kos Bahan Api Pas Melalui (FCPT) tidak berlaku. Malah pada Mac 2015, kadar tarif elektrik dapat diturunkan. 

Melalui perjanjian baru ini juga, TNB telah memperoleh keuntungan bagi tahun 2013, 2014 dan sebanyak rm2.3B pada 3 bulan pertama 2015. 

● Kejayaan Untuk Rakyat Yang Dibenci

Walaupun kita semua dari golongan rakyat, TNB dan PETRONAS mendapat manfaat besar disebalik usaha PM DSN, wujud golongan yang amat membenci kejayaan ini. Jika sebelum ini, golongan ini boleh dikategorikan sebagai "Untouchable". Keadaan berubah 360 darjah apabila perjanjian baru berkenaan IPP yang seimbang telah dimerterai. Mereka sudah tidak dapat menikmati keuntungan berganda sepertimana yang mereka peroleh sebelum ini. Golongan ini merupakan pemilik IPP yang juga merupakan KRONI RAPAT kepada mantan PM Malaysia. (Untuk rekod, pendapatan YTL 2012 sehingga July, direkod sebanyak rm11.2B  hasil jualan IPP, keuntungan min 20%). 

Para pemilik IPP tidak boleh dan tidak mampu menyerang PM DSN secara terbuka. Oleh kerana pemilik IPP merupakan kroni rapat mantan PM, mereka telah menggunakan mantan PM untuk menyerang PM DSN. Melalui mantan PM, DSN dan 1MDB telah diserang dengan fitnah begitu teruk sekali. 

Provokasi melalui fitnah dan pertanyaan yang tidak boleh diterima akal telah dibuat dengan tujuan untuk menjatuhkan kredebiliti dan menyebar kebencian terhadap PM DSN. Tujuan utama tindakan ini agar PM DSN membatalkan perjanjian baru atau PM DSN diturunkan dari jawatan PM Malaysia. Akhirnya individu yang akan dilantik ke jawatan PM Malaysia dapat dijadikan boneka untuk merubah perjanjian IPP yang boleh mengembalikan keuntungan berganda kepada pemilik IPP. 

Mantan PM memang pakar dan mahir dalam membangkitkan PERSEPSI NEGATIF. Saya tidak terkejut apabila ramai antara kita mempercayai kenyataan awal beliau bahawa rm42B hilang dan walaupun kemudiannya diubah kepada nilai rm27B pula yang hilang. Segala pertanyaan dan fitnah yang dibangkitkan seperti pembelian tanah di TRX oleh Tabung Haji sebagai "bail out", pembabitan Jho Low, pelaburan bersama Petrosaudi, pelaburan di Cayman Island, dakwaan 1MDB cuba merampas wang Terengganu Investment Authority dan mencagar Telaga Minyak Terengganu dan banyak lagi telah dijawab sepenuhnya oleh Menteri Kewangan II, DS Ahmad Husni Hanzalah dan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy. Malah soalan dan jawapan mereka berdua telah dibukukan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) untuk memudahkan rakyat mendapat maklumat. 

Walau pun mantan PM memfitnah PM DSN dengan pelbagai tuduhan, beliau masih tidak mampu untuk melaporkan fitnah tersebut. Melalui temubual secara santai baru baru ini, beliau telah beri jawapan bahawa beliau takkan buat laporan kerana tiada bukti. Jawapan ini menunjukkan segala tuduhan yang dibuat oleh beliau dan dilemparkan kepada PM DSN hanyalah fitnah dan bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif semata mata.


Racun Yang Dibalas Madu.

Biarpun PM DSN berulang kali dikecam, dihina, difitnah dan dikeji oleh mantan PM Malaysia dan kalangan anti PM DSN, beliau tetap bersabar hadapi kerenah mereka semua dan tidak mengambil tindakan terburu buru. 

Apa yang menarik disebalik fitnah yang dibuat oleh mantan PM terhadap PM DSN, beliau tidak mampu mengatakan bahawa IPP yang dibeli oleh 1MDB itu berasal dari KRONI RAPAT beliau. 

Beliau juga tidak mampu memuji PM DSN kerana mampu bertindak sehingga mengakibatkan TNB peroleh keuntungan  yang tidak pernah dicapai walau ketika beliau berkuasa. Malah kejayaan PM DSN melalui TNB menurunkan tarif elektrik juga dipandang sepi oleh mantan PM. 

Mantan PM juga seperti terkunci mulutnya dari menghebahkan kebaikkan 1MDB dan mungkin teramat MALU untuk akui bahawa keuntungan dari 1MDB, anak syarikat kerajaan yang amat dibenci oleh beliau, akan tetapi mampu menaja beribu rakyat Malaysia untuk menunaikan haji ke Mekah setiap tahun berbanding KRONI RAPAT beliau yang lebih suka menimbukan harta dari berkongsi keuntungan bersama rakyat bawahan. 

Iktibar yang kita bol eh ambil ialah bagaimana PM DSN bersikap matang dalam berhadapan dengan fitnah yang dilemparkan oleh mantan PM. Benarlah kata Imam Syafie, kira kira maksudnya "Jika hendak lihat pemimpin diatas landasan kebenaran, lihatlah betapa banyak fitnah yang dilemparkan kepadanya". Dan ianya berlaku dizaman ini. 

Ironinya, sepanjang pemerintahan mantan pm, pembangkang adalah orang yang sangat vokal apabila pemilik IPP diberi layanan istimewa. Dan kini mantan PM dan pembangkang pula bersama sama vokal untuk menjatuhkan PM DSN dan 1MDB yang telah menyelamatkan negara daripada menanggung subsidi yang terlalu besar setiap tahun. 

Satu perkara yang sudah pasti bahawa agenda utama pembangkang adalah untuk mencari titik point dari pihak kerajaan atau GLC yang boleh di tukar menjadi satu isu yang amat besar untuk mempengaruhi rakyat agar membenci kerajaan dan boleh memberi manfaat dengan menarik sentimen rakyat kepada mereka!.

Salam perjuangan, 
Dato' Hj Zein Isma Hj Ismail
Ketua Penerangan UMNO Selangor / 
Ketua UMNO Bahagian Subang
Selasa 27 Oktober 2015



Tiada ulasan: