Selasa, 28 April 2015

@NajibRazak GUNAKAN AGENSI UNTUK BUAT PEMANTAUAN DAN PENGUATKUASAAN #GST


Kenyataan Menteri KPDNKK yang mengatakan bahawa KPDNKK tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menjalankan kerja kerja pemantauan dan serbuan keatas kedai atau para peniaga yang menaikkan harga barang akibat GST seolah olah orang yang tiada akal menjadi Menteri.

Sangkakala terfikir kenapa KPDNKK tidak mahu menurunkan kuasa yang ada pada mereka untuk diberi kepada agensi agensi tertentu dalam melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan sedangkan banyak agensi yang pada Sangkakala lebih dari mampu untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Seperti contoh, Pasukan Ikatan Relawan Malaysia atau RELA yang mempunyai jutaan anggota jika dikerah untuk memberikan bantuan sudah pasti mampu untuk melaksanakan tugas seperti yang diminta.

Kita semua sedia maklum bahawa para peniaga yang didapati bersalah menipu pengguna dengan menaikkan harga dengan menggunakan alasan GST akan dikenakan tindakan seperti denda dan sebagainya.

Jika KPDNKK benar benar hendak mengimplimentasikan penguatkuasaan sepertimana yang mereka katakan, tidak salah rasanya jika saman yang dikenakan kepada peniaga yang didapati bersalah diberikan sedikit kepada mereka yang memberikan maklumat hingga peniaga ini dibawa ke muka pengadilan sebagai satu penghargaan kepada mereka.

Jika 500k anggota RELA diberikan kuasa untuk menjalankan pemeriksaan dengan prosedur prosedur yang ditetapkan, Sangkakala amat yakin dan percaya bahawa peniaga peniaga yang menyeleweng ini akan lebih banyak dikesan dan ini juga akan memberikan keselesaan kepada rakyat dimana mereka tahu bahawa peniaga yang menipu ini tidak akan terlepas dari undang undang.

Jadi kalau ini pun tak mampu nak dilakukan oleh Kementerian, rasanya adalah lebih baik jika Kementerian tersebut ditutup atau Menteri berkenaan ditukarkan dengan orang lain sebab rakyat hari ini tidak mahu mendengar alasan, yang mereka mahukan ialah melihat pelaksanaan.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sakitnya hati bila renew takaful untuk kereta pun kena gst...ini yang kerajaan kata tak naikkan kos hidup?