Ahad, 13 Oktober 2013

LELAKI DIBUNUH TEMAN WANITA PARAH KERANA CEMBURU

KUANTAN 13 Okt. - Seorang lelaki warga China dibunuh manakala seorang wanita tempatan, dipercayai teman wanita mangsa, parah ditikam di sebuah rumah di Taman Mawar Indah dekat Triang awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Mohd. Zakaria Ahmad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 pagi sebelum jiran mangsa memaklumkan polis pada 7.30 pagi.

"Polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui kedua-dua mangsa terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah akibat beberapa kesan tikaman di badan," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, polis enggan mendedahkan identiti mangsa memandangkan siasatan menyeluruh masih dijalankan.

"Lelaki berusia 30an itu disahkan mati di tempat kejadian manakala teman wanitanya, 30an, kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh," katanya.

Mohd. Zakaria berkata, polis turut menemui dua kanak-kanak lelaki, dipercayai anak wanita terbabit, yang berusia tiga dan enam tahun dalam rumah berkenaan.

"Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya sambil menambah polis kini memburu suspek lelaki berusia 30an, seorang warga Singapura yang juga suami wanita terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita itu dan suaminya dalam proses perceraian.

"Kami tidak menolak berkemungkinan kejadian ini bermotifkan cemburu. Pihak polis juga mendapat kerjasama Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa Singapura dalam usaha memberkas suspek," katanya.

Mohd. Zakaria berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Tiada ulasan: