Jumaat, 22 Jun 2012

PERKASA PULA TAMPIL MENDESAK

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)) mendesak kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.
 
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pendedahan terbaru yang dibuat oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Abdul Razak Idris bahawa Anwar meminta untuk membuat akuan bersumpah bagi menutup kes berkenaan membuktikan penyalahgunaan kuasa Ketua Pembangkang itu ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, siasatan secara mendalam perlu dilakukan dan tidak boleh mengharapkan kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata memandangkan ia melibatkan jumlah wang yang sangat besar.

"Pendedahan terbaru ini amat mengejutkan. Ia juga merupakan bukti akuan bersumpah menyatakan kes berkenaan telah selesai sebenarnya dibuat atas permintaan Anwar.

"Saya cadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat perkara itu. Kita mahu tahu dari mana datangnya wang RM3 bilion itu dan ke manakah duit itu disalurkan, kepada kroni atau siapa?" katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Abdul Razak, bahawa beliau telah diminta oleh Anwar untuk membuat akuan bersumpah bagi membersihkan nama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Dalam pada itu, Ibrahim menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan supaya memantau 'fatwa-fatwa' yang dibuat oleh individu-individu kononnya bergelar ulama demi kepentingan politik semata-mata.
Katanya, fatwa-fatwa berkenaan hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam dan boleh menyebabkan perpecahan.

"Saya gesa Majlis Fatwa Kebangsaan supaya bukan sahaja memberi perhatian kepada individu-individu atau kumpulan sesat seperti Ayah Pin dan sebagainya tetapi turut melihat ahli-ahli politik yang sering mengeluarkan fatwa-fatwa demi kepentingan politik serta parti mereka.

"Majlis Fatwa Kebangsaan jangan takut dan perlu bertegas. Ini tidak, apabila ada pihak seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menimbulkan tentang perkara itu (fatwa politik), beliau pula dibidas. Ini tidak betul, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertindak segera," jelasnya.

Tiada ulasan: